Wednesday, October 23, 2013

Dialog Diharap Selesai Isu Banjir

Oleh: Muhammad Shahrizal | Foto: Invisible Raw Image

Bukit Mertajam - Masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan Kampung Padang Lalang sejak sekian lama membuatkan penduduk-penduduk sekitar kurang selesa dengan keadaan tersebut.

            Perihatin dengan masalah  ini, Adun Padang Lalang, YB Puan Chong Eng baru-baru ini telah menganjurkan satu sesi dialog antara penduduk di Padang Lalang dan wakil-wakil daripada beberapa agensi kerajaan dan juga wakil daripada syarikat pembinaan landasan keretapi berkembar untuk mencari penyelesaian kepada kemelut yang melanda penduduk-penduduk Padang Lalang. Sesi dialog tersebut berlangsung di perkarangan Masjid Al-Munawwarah, Padang Lalang dan dipengerusikan oleh Pengerusi
 Qariah, Encik Zakri

YB Puan Chong Eng (Kiri)
.            Agensi-agensi yang hadir ialah Jabatan Kerja Raya Malaysia, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Jabatan Bomba Malaysia, Jabatan  Parit dan Saliran dan MMC-Gamuda JV.

            Tujuan diadakan dialog tersebut adalah untuk mencari penyelesaian kepada kemelut terjadinya kejadian banjir yang sering berlaku di kampung tersebut.

             “ Adalah penting buat penduduk-penduduk mengetahui siapakah yang harus mereka hubungi jika masalah-masalah seperti ini berulang.

            “Ini bertujuan untuk mengelakan kes tolak menolak atas siapakah yang harus dipertanggungjawabkan  jika terjadi masalah seperti ini lagi,” ujar Puan Chong Eng ketika merujuk kepada masalah parit yang tidak diselenggara dengan baik.

Abdul Ghani ketika memberi penerangan kepada wakil-wakil agensi kerajaan dan Gamuda
            Wakil  dari Rukun Tetangga Padang Lalang, Encik Abdul Ghani berkata sejak Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum pada tahun 2008 hinggalah sekarang, inilah pertama kali dialog seumpana ini diadakan dan beliau amat berterima kasih dan menghargai keperihatinan YB Puan Chong Eng akan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di sekitarnya. Dalam dialog tersebut,Encik Abdul Ghani turut menyuarakan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di sini.

Menurut Encik Abd. Ghani lagi, punca kepada masalah banjir yang sering dihadapi oleh penduduk-penduduk di sini  adalah keadaan sistem perparitan yang kurang memuaskan akibat pembesaran jalan raya dan pembinaan landasan keretapi berkembar. Keadaan ini membuatkan penduduk-penduduk kampung Padang Lalang dihimpit oleh pembangunan dari depan dan belakang kediaman mereka.

Seorang lagi penduduk, Puan Amelia turut menyuarakan rasa terkilannya kerana permohonannya untuk mendapatkan pampasan dari pihak pembinaan tidak diberi perhatian serius oleh mereka. Menurut beliau lagi, rumahnya mula retak pada tahun 2010 akibat kerja-kerja penanaman cerucuk untuk membina jejambat dan pelebaran jalan dihadapan rumahnya.


Di dalam majlis yang sama, Puan Chong Eng mengumumkan pemberian computer untuk kegunaan Masjid Al-Munawwarah, Padang Lalang.

No comments:

Post a Comment