Tuesday, June 18, 2013

Penang FA vs Tumpat FA -covering photo shoot

Pada hari Ahad yang lepas aku berpeluang berada di tepi padang untuk mengambil gambar ketika perlawanan bola sepak antara Penang FA menentang Tumpat FA. Sebenarnya sudah lama aku menunggu peluang sebegini. Sebelum ini aku juga berkesempatan untuk mengambil gambar ketika Penang FA menentang Terengganu di dalam saingan untuk merebut Piala FA.

Pada perlawanan tersebut, aku tidak berpeluang untuk berada di kawasan belakang gol untuk mengambil gambar kerana ketika itu aku sampai agak lewat di stadium gara-gara tersilap hitung waktu sebenar perlawanan itu akan diadakan. Aku hanya berada di kawasan tempat duduk penyokong sahaja.

Pada Ahad lepas aku juga hampir ketinggalan. tetapi Alhamdulillah pegawai media En. Sidek banyak membantu aku. Kehadiran para penyokong Penang FA seramai 7 ribu orang menggamatkan suasana di dalam stadium. Dengan sorakan tanpa henti dari Ultras Panthers membuatkan bulu roma aku meremang. Sudah lama aku tidak berada dalam suasana sebegini. Aku rindukan suasana begini dan kerinduan aku terubat apabila melihat Penang FA menjulang Piala Liga FAM.

Merzagua Abderrazak menjulang Piala Liga FAM.
Walaupun ianya hanya Piala Liga FAM, ianya amat bermakna buat Penang FA dan para penyokongnya. Penang FA dari sebuah pasukan yang digeruni di dalam liga di negara ini terus jatuh ke liga paling bawah. Ianya lebih bermakna kerana pasukan ini dibimbing oleh legenda bola sepak yang pernah menaikan pasukan ini dari pasukan belasahan kepada pasukan yang digeruni pada penghujung era 90an. Kini lagenda itu kembali semula ke negeri ini untuk membimbing pasukan yang diwakilinya dulu. Lagenda itu adalah Merzagua Abderrazak. Satu nama yang tidak asing lagi di negeri ini. Hasil bimbingannya pada musim pertama, Penang FA telah berjaya merangkul Piala Liga FAM.

Dibawah ini adalah gambar-gambar yang sempat aku upload ke dalam FB. Banyak lagi yang tak sempat upload. Minta maaf ada kualiti gambar yang kurang memuaskan.














Sunday, June 16, 2013

My New Toy

Alhamdulillah. Terima Kasih Allah sebab izinkan aku untuk milikinya setelah sabar menanti hampir setahun lebih selepas aku terpaksa menjual kamera yang dulu. Semalam aku ke Plaza Gurney bersama isteriku untuk membelinya. Hampir 2 bulan aku jalankan survey untuk memilih yang terbaik. Walaupun apa yang aku miliki sekarang ini tidaklah sehebat dan sebaik model-model terkini, sekurang-kurangnya ianya lebih baik dari model-model terdahulu. Walaupun hajat aku untuk memiliki sebuah FX body tak kesampaian, maka DX body pun jadi la. Ini dah kira terbaik yang Allah pinjamkan kat aku. FX merujuk kepada Full Frame body dan DX untuk Crop Body.

Petang ni aku akan bawa 'toy' aku ni ke Stadium Bandaraya. Nak test tgk mcm mana kemampuannya setelah banyak komen-komen di alam maya ni mengatakan ianya baik untuk fotografi sukan.


Monday, June 10, 2013

Wedding Photo Journal: Sesi Outdoor Kapt. Amin & Rafidah

Selesailah sudah sesi Outdoor Photography untuk Kapten Mohd Amin dan pasangannya Noor Rafidah petang tadi. Sesi petang tadi berlangsung di sekitar bangunan-bangunan lama di Georgetown, Straits Quay dan Tanjung Marina, Weld Quay. Hujan lebat sedikit merencatkan perjalanan sesi outdoor petang tadi. Namun perjalanan sesi outdoor mesti diteruskan walau dalam apa jua keadaan.
Kapten Mohd Amin yang kemas berpakaian rasmi tentera menjadi tumpuan pelancong-pelancong asing yang melintasi lokasi pengambaran sebentar tadi. Tidak kurangnya Noor Rafidah yang cantik berpakaian gaun merah juga menjadi perhatian pelancong-pelancong asing yang berebut-rebut untuk mengambil gambarnya,

Aku berterima kasih kepada sepupuku yang memberi peluang untuk aku turut serta sepanjang membuat liputan perkahwinan ini Ini sedikit sebanyak aku dapat mengambil peluang untuk membiasakan diri semula sebagai jurufoto perkahwinan. Sebenarnya, sudah agak lama aku tinggalkan dunia jurufoto perkahwinan ini. Minat aku sebenarnya kepada fotografi jalanan atau sebagai photojournalist. Kini aku cuba mengadaptasi seni fotografi jalanan ke dalam seni fotografi perkahwinan. Pasti ianya akan lebih menarik. Atas sebab inilah aku memberikan idea kepada sepupuku untuk membuat sesi outdoor kali ini di kawasan tumpuan pelancong.

Hujan lebat turun di tengah-tengah sesi ini berlangsung di Georgetown. Kami terpaksa mencari tempat untuk berteduh dari dibasahi oleh hujan lebat. Harapan tipis untuk menyambung sesi ini di sekitar lorong-lorong klasik di Georgetown. Setelah berbincang bersama pasangan pengantin, kami memutuskan untuk ke pusat membeli belah yang terletak di Strait Quay. Kami memilih lokasi tersebut kerana seni binanya kelihatan ala-ala seni binaan Inggeris.
Kami berada tidak lama di sana kerana diarahkan meninggalkan kawasan tersebut oleh pengawal keselamatan. Jika kami mahu meneruskan juga sesi ini, kami terpaksa membayar RM500, Jurufoto yang ingin mengambil gambar secara profesional di sana di larang sama sekali, Ini bermaksud, tiada pengambaran di kawasan milik mereka. Straits Quay adalah milik Eastern & Oriental.
Gatal tangan untuk buat editing macam ni.
Sekali lagi kami beralih arah menuju ke Weld Quay. Harapan kami kali ini tiada bayaran akan dikenakan terhadap kami jika kami mahu mengambil gambar di sana. Setibanya di sana, kelihatan beberapa pasang pengantin sedang mengambil gambar. Alhamdulillah, lokasi kali ini adalah percuma. Sesi outdoor kami pada hari ini berakhir di Weld Quay. Banyak aksi berjaya dirakamkan oleh aku dan Shah (sepupu). Pasangan pengantin juga kelihatan letih dan ini menandakan sesi ini telah berakhir.

"Badan aku ketika ini berada ditahap keletihan yang teramat sangat. Penulisan di dalam entri kali ini juga kelihatan seperti melepaskan batuk di tangga saja."

Sunday, June 9, 2013

Wedding Photo Journal: Captain Amin & Rafidah - Make-up session

Kelmarin aku mendapat tugasan sebagai backup official photographer untuk satu majlis perkahwinan. Majlis ini berlangsung di dewan serbaguna Taman Kerian Permai, Parit Buntar. Sebelum ke dewan tersebut, aku terlebih dahulu berada di lokasi make-up pengantin di pusat bandar Parit Buntar untuk mengambil 'beberapa keping' gambar. Beberapa keping gambar itu bermaksud ianya MESTI lebih dari 50 gambar.
Aku bertolak dari rumah menuju ke Parit Buntar dengan menggunakan motosikal. 40 minit masa perjalanan memang melenguhkan segala anggota badan. Setibanya aku di pusat bandar Parit Buntar, aku tercari-cari lokasi butik yang dimaksudkan oleh Shah Redzha (seorang jurufoto rasmi yang menjemput aku menjadi backupnya, juga sepupu aku). Bila dah jumpa butik, aku hanya perlu menunggu bakal pengantin tiba dan jurufoto rasmi tiba sahaja.
Suasana pencahayaan di dalam butik tersebut sedikit merisaukan aku. Dinding berwarna merah cili, lampu disiling kekuningan dan siling berwarna putih yang sedikit melegakan aku. Setibanya pengantin perempuan, terus kami diarahkan oleh mak andam yang aku kira original sifat kewanitaannya untuk naik ketingkat atas butik untuk melakukan proses andaman.
Panas!! Itulah yang perkataan yang mula-mula keluar dari mulut pengantin perempuan mengenai suhu di ruang andaman. Penghawa dingin rosak, hanya kipas sahaja yang berfungsi tetapi ianya tetap panas. Kami tiada pilihan lain dan terpaksa berada di tingkat atas untuk proses andaman. Bahagian bawah penuh. Pada pagi itu tidak kurang dari empat pasangan pengantin berada di butik tersebut.
Sesi fotografi pada pagi tersebut berjalan dengan lancar. Foto-foto juga ada yang memuaskan hati aku. Nasib baiklah flash dan kamera berfungsi dengan baik. Sesi fotografi di butik tersebut berakhir sekitar jam 11.30 pagi. Seterusnya majlis bersandingan akan bermula jam 12.45 tengah hari. Sambil-sambil menunggu, aku dan Shah Redzha, kami berehat serta mengisi perut sebelum sesi fotografi bersambung semula jam 12.45pm.

Friday, June 7, 2013

Rumah Pangsa Perai Jaya - Neraka dunia?

Bagi penduduk disekitar Seberang Perai Tengah, rumah pangsa di Bandar Perai Jaya memang agak terkenal. Ianya terkenal bukan kerana keindahan seni binanya mahupun kebersihannya, Ianya terkenal sebagai rumah pangsa yang paling kotor dan jijik di negeri ini. Terdapat beberapa blok rumah pangsa di sekeliling pusat membeli belah Megamall Pinang.

Bagi sesetengah orang yang pertama kali menjejak kaki di sana pasti mereka merasakan seperti berada di neraka. Rumah pangsa ini bukan sahaja terkenal kerana kekotorannya, malah ianya terkenal sebagai lokasi selamat untuk mereka melakukan maksiat. Penduduk di sana dengan rasa berbesar hati membuang sampah sarap dari tingkat atas ke bawah.

Antara yang dibuang oleh mereka ialah, kari, lampin bayi yang bernajis, tuala wanita serta sampah-sampah yang lain. Lokasi kegemaran mereka adalah di tengah-tengah antara dua blok bangunan. Bagi mereka yang teringin untuk melihat keadaannya, dinasihatkan supaya membuka payung ketika berjalan-jalan di koridor bawah.
"Buat masa ini aku masih belum berkesempatan untuk mengambil beberapa keping foto kerana sibuk bekerja. Aku pernah beberapa kali singgah ke rumah pangsa ini untuk bertemu orang tetapi malangnya aku tidak membawa kamera sekali, Jika diizinkan Allah SWT, aku akan pergi dan mengambil beberapa keping foto untuk tatapan semua,"

Sunday, June 2, 2013

Short Film Project



Sekarang ini aku bersama rakan-rakan sedang mengusahakan sebuah projek filem pendek yang berdurasi sekitar 20 minit. Promonya dah keluar dan boleh dilihat dalam entri ini. Promo ini pun sebenarnya bukanlah yang betul punya. Ini cumalah promo edisi percubaan

Sebenarnya promo ini hanyalah satu percubaan sebelum promo yang sebenar keluar. Genre untuk filem pendek ini ialah politik, drama, aksi dan misteri.

Keseluruhan file mini dirakam dalam bentuk HD dengan menggunakan kamera baru “Black Magic Cinema”. Filem ini hanya menggunakan hitam dan putih sebagai latarnya.

Filem ini mengisahkan seorang jurnalis akhbar utama negara yang mempertahankan kredibiliti dan etika kewartawanannya yang cuba di cabul oleh ketua editornya. Ada juga unsur suspen dan aksi-aksi.