Monday, June 18, 2012

Expect The Expectations

Finally I managed to save almost 98% of the lost photos from my damaged hard disk. After nearly five hours through the scan and recover, I finally managed to remove the photos to my desktop.

Other text coming soon...

Sorry.

Friday, June 8, 2012

Kisah Nasi Lemak dan Ibuku

Nasi Lemak. Itulah namanya. Nasi lemak yang ada dalam gambar di sebelah ini adalah nasi lemak yang dibuat oleh mak aku. Sehingga sekarang sudah hampir 9 tahun mak buat nasi lemak dan jual di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Lokasinya adalah berhadapan dengan Lai Lai Mini Market dan bersebelahan dengan Nasi Kandar Nasmir.

Dengan hasil jualan nasi lemak inilah mak tanggung aku belajar dulu dan tanggung perbelanjaan rumah. Sebenarnya banyak lagi yang mak tanggung dengan hasil jualan nasi lemak ni cuma tak terkata banyaknya di sini.

Antara lauk-lauk yang di jual adalah seperti lauk karl/sambal ikan masin, sambal ikan, sambal ikan bilis, kari/sambal udang dan ayam. Sehari secara purata mak akan buat sebanyak 200 hingga 230 bungkus bergantung kepada tahap keupayaan dan kesihatan mak aku sebab semuanya mak aku buat sendiri. Bermula dari pagi mak aku pergi ke pasar beli bahan-bahan yang nak buat hinggalah ke proses bungkus, semuanya mak aku buat sendiri.

Dulu lepas mak bungkus, mak yang akan pergi jual sendiri atau bapak aku yang akan pergi jual tetapi sekarang ni mak mengupah kawannya untuk tolong jual di sana. Aku pun pernah banyak kali tolong mak aku jual.

Sebenarnya banyak kenangan di sana. Kenangan atau memori ketika jual nasi lemak dan ketika kawan-kawan aku datang melepak dan 'meramaikan' lagi port jual nasi lemak dan ketika berhadapan dengan hujan lebat dan angin kuat yang hampir menerbangkan payung bulat yang melindungi nasi lemak dari terkena hujan.

Aku sebenarnya suka melihat orang ramai lalu lalang di kesibukan Bandar Perda waktu malam. Melihat mereka keluar mencari makanan dan berjalan-jalan bersama keluarga buatkan hati aku rasa gembira. Gembira sebab dapat tengok suasana yang berlaku didepan aku.

Langit tak selalunya cerah.

Adakalanya aku tengok mak terlalu letih sangat untuk meniaga. Aku pernah nasihatkan mak supaya banyakan masa berehat di rumah dari meniaga. Tapi mak tetap nak meniaga. Kata mak, kalau mak tak meniaga, siapa yang akan bayar bil-bil di rumah dan siapa akan tanggung perbelanjaan rumah. Bila mak cakap macam tu, hati aku jadi sedih sangat-sangat dan kadangkala mengalir air mata aku bila aku duduk sendirian dan ingatkan apa yang mak cakap tu. Aku menangis sebab aku rasakan diriku ini macam anak yang tak guna. Yang tak dapat membantu mak untuk ringankan bebannya.

Aku tak mampu lagi buat masa ini untuk tolong mak dari segi kewangan. Gaji yang aku perolehi setiap bulan habis buat bayar duit kereta, duit sewa rumah, duit barangan elektrik dan perabot serta sedikit nafkah buat isteriku. Duit poket aku sendiri pun kadang kala tak ada. Yang ada cuma duit untuk isi minyak motor ke tempat kerja selama sebulan. Jika aku ada duit lebih selepas terima gaji, aku akan bantu mak dengan sedaya yang aku boleh. Tetapi ianya tetap tak dapat buatkan mak berehat dari meniaga.

Nasi lemak yang mak buat tak selalunya habis dijual. Jika musim hujan atau musim cuti pelajar-pelajar Politeknik atau UiTM, hasil jualan nasi lemak akan menurun. Aku dapat lihat kesedihan di raut wajah mak aku bila nasi lemaknya banyak yang tak habis dijual. Adakalanya mencecah 150 bungkus. Mak cakap modal pun tak lepas. Lagi sedih bila pulang ke rumah dan lihat mak mengira-gira hasil jualan di meja.

Mak banyak termenung ketika itu. Banyak duit yang perlu digunakan untuk perbelanjaan rumah dan bayar bil elektrik dan air yang tertunggak berbulan lamanya.

Setiap kali selepas solat, aku selalu memohon pada Allah SWT supaya berikan syurga buat mak atau pelbagai ujian dan pengorbanan yang mak buat unuk keluarga. Hanya doa yang mampu aku lakukan buat masa ini…InsyaAllah, aku berazam untuk tetap membantu dan menyenangkan hidup mak jika Allah kurniakan kesempatan itu buat aku..

My mom is my world.

Thursday, June 7, 2012

Mereka Yang Istimewa (Kanak-kanak OKU PDK Seberang Jaya)


Foto ini adalah antara foto-foto aku yang telah aku jumpa semula di dalam Hard Disk aku yang ada masalah tu. Tak banyak yang aku dapat buat masa ni. Hanya 18 keping foto saja yang sempat aku keluarkan.

Sebenarnya masih banyak lagi foto-foto yang masih belum dapat aku keluarkan hingga kini. Anggaran aku hampir seribu foto-foto kegemaran aku yang masih tak dapat dikeluarkan.

Ini adalah foto pertama yang di antara 18 foto yang aku keluarkan. Foto ini aku ambil pada bulan Jun 2010 di karnival sukan PDK OKU di Seberang Jaya. Melihat kepada kanak-kanak ini tiada siapa sangka mereka sebenarnya adalah dari golongan OKU. Hati aku akan tersentuh bila melihat golongan OKU ini yang kehidupan mereka tak seperti manusia-manusia normal di luar sana.

Bila melihat kehidupan mereka bersama rakan-rakan OKU yang lain membuatkan hati aku menjadi sayu. Melihat kegigihan mereka belajar menganyam bakul rotan dan pelbagai aktiviti yang boleh mengasah kemahiran mereka.

Pada anda di luar sana yang ingin membantu golongan OKU ini, bolehlah menghubungi pusat PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) yang berhampiran dengan anda. Sumbangan anda amatlah di alu-alukan oleh mereka.
--------------------------------------------
Pengertian foto bagi aku adalah seperti kita dapat menghentikan masa dan menyimpan sesuatu gambaran visual di setiap detik yang berjalan dan kemudiannya kita keluarkan semula gambaran itu di masa akan datang untuk tatapan kita. Atas pengertian itulah cinta aku pada fotografi tidak pernah padam. Aku bukanlah seorang yang pandai mengambil gambar seperti photographer amatur atau profesional di luar sana. Aku hanyalah seorang yang gemar menjadi penangkap waktu.