Nasi Lemak. Itulah namanya. Nasi lemak yang ada dalam gambar di sebelah ini adalah nasi lemak yang dibuat oleh mak aku. Sehingga sekarang sudah hampir 9 tahun mak buat nasi lemak dan jual di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Lokasinya adalah berhadapan dengan Lai Lai Mini Market dan bersebelahan dengan Nasi Kandar Nasmir.
Dengan hasil jualan nasi lemak inilah mak tanggung aku belajar dulu dan tanggung perbelanjaan rumah. Sebenarnya banyak lagi yang mak tanggung dengan hasil jualan nasi lemak ni cuma tak terkata banyaknya di sini.
Antara lauk-lauk yang di jual adalah seperti lauk karl/sambal ikan masin, sambal ikan, sambal ikan bilis, kari/sambal udang dan ayam. Sehari secara purata mak akan buat sebanyak 200 hingga 230 bungkus bergantung kepada tahap keupayaan dan kesihatan mak aku sebab semuanya mak aku buat sendiri. Bermula dari pagi mak aku pergi ke pasar beli bahan-bahan yang nak buat hinggalah ke proses bungkus, semuanya mak aku buat sendiri.
Dulu lepas mak bungkus, mak yang akan pergi jual sendiri atau bapak aku yang akan pergi jual tetapi sekarang ni mak mengupah kawannya untuk tolong jual di sana. Aku pun pernah banyak kali tolong mak aku jual.
Sebenarnya banyak kenangan di sana. Kenangan atau memori ketika jual nasi lemak dan ketika kawan-kawan aku datang melepak dan 'meramaikan' lagi port jual nasi lemak dan ketika berhadapan dengan hujan lebat dan angin kuat yang hampir menerbangkan payung bulat yang melindungi nasi lemak dari terkena hujan.
Aku sebenarnya suka melihat orang ramai lalu lalang di kesibukan Bandar Perda waktu malam. Melihat mereka keluar mencari makanan dan berjalan-jalan bersama keluarga buatkan hati aku rasa gembira. Gembira sebab dapat tengok suasana yang berlaku didepan aku.
Langit tak selalunya cerah.Adakalanya aku tengok mak terlalu letih sangat untuk meniaga. Aku pernah nasihatkan mak supaya banyakan masa berehat di rumah dari meniaga. Tapi mak tetap nak meniaga. Kata mak, kalau mak tak meniaga, siapa yang akan bayar bil-bil di rumah dan siapa akan tanggung perbelanjaan rumah. Bila mak cakap macam tu, hati aku jadi sedih sangat-sangat dan kadangkala mengalir air mata aku bila aku duduk sendirian dan ingatkan apa yang mak cakap tu. Aku menangis sebab aku rasakan diriku ini macam anak yang tak guna. Yang tak dapat membantu mak untuk ringankan bebannya.
Aku tak mampu lagi buat masa ini untuk tolong mak dari segi kewangan. Gaji yang aku perolehi setiap bulan habis buat bayar duit kereta, duit sewa rumah, duit barangan elektrik dan perabot serta sedikit nafkah buat isteriku. Duit poket aku sendiri pun kadang kala tak ada. Yang ada cuma duit untuk isi minyak motor ke tempat kerja selama sebulan. Jika aku ada duit lebih selepas terima gaji, aku akan bantu mak dengan sedaya yang aku boleh. Tetapi ianya tetap tak dapat buatkan mak berehat dari meniaga.
Nasi lemak yang mak buat tak selalunya habis dijual. Jika musim hujan atau musim cuti pelajar-pelajar Politeknik atau UiTM, hasil jualan nasi lemak akan menurun. Aku dapat lihat kesedihan di raut wajah mak aku bila nasi lemaknya banyak yang tak habis dijual. Adakalanya mencecah 150 bungkus. Mak cakap modal pun tak lepas. Lagi sedih bila pulang ke rumah dan lihat mak mengira-gira hasil jualan di meja.
Mak banyak termenung ketika itu. Banyak duit yang perlu digunakan untuk perbelanjaan rumah dan bayar bil elektrik dan air yang tertunggak berbulan lamanya.
Setiap kali selepas solat, aku selalu memohon pada Allah SWT supaya berikan syurga buat mak atau pelbagai ujian dan pengorbanan yang mak buat unuk keluarga. Hanya doa yang mampu aku lakukan buat masa ini…InsyaAllah, aku berazam untuk tetap membantu dan menyenangkan hidup mak jika Allah kurniakan kesempatan itu buat aku..
My mom is my world.